Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia telah ditubuhkan pada 1993 dan telah menjangkau 15 tahun penubuhannya. Sehubungan dengan itu, pihak Fakulti Pendidikan menumpukan hala tujunya ke arah melatih, mendidik malah memenuhi keperluan guru dalam bidang pendidikan sains dan matematik serta pendidikan teknikal. Namun demikian, pihak Fakulti Pendidikan juga kini dalam usaha menggubal semula program sarjana pendidikan dan ijazah kedoktoran dalam usaha memenuhi keperluan modal insan yang berilmu pengetahuan tinggi.
Sejajar dengan hasrat menjana modal insan yang berkualiti, penganjuran persidangan di peringkat kebangsaan ini dilihat sebagai strategi dan pendekatan dalam usaha mendapatkan maklum balas serta input bagi memantapkan lagi mutu pengurusan pendidikan di Malaysia.